Kecurian identiti semakin meningkat pada kadar yang membimbangkan di Malaysia dan di seluruh dunia. Ia telah menyebabkan kerugian dan kerosakan bernilai berjuta-juta ringgit, terutama sekali terhadap reputasi dan kesihatan kredit pengguna yang tidak bersalah. Tetapi, adakah anda tahu apakah itu kecurian identiti? Mungkinkah anda menjadi mangsa seterusnya, dan jika ya, bagaimanakah situasi tersebut boleh menyusahkan anda?
Apakah sebenarnya kecurian identiti?
Kecurian identiti dan penipuan identiti adalah dua istilah yang digunakan untuk merujuk kepada semua jenis jenayah di mana seseorang memperolehi maklumat orang lain dan menyalahgunakannya. Data peribadi yang kerap dicuri termasuk nombor kad kredit dan debit serta maklumat mengenai akaun bank, polisi insurans dan rekod perubatan.
Bahaya jika maklumat anda dicuri
Pencuri sering menggunakan maklumat kad kredit atau debit yang dicuri untuk membuat pembelian, terutamanya secara online. Mereka boleh menghubungi pihak bank dan berpura-pura menjadi pemilik kad kredit – kemudian membatalkan kad kredit mangsa dengan menggunakan pelbagai alasan, serta meminta kad baru dihantar ke alamat baru yang boleh diakses oleh pencuri. Seterusnya, pencuri membeli-belah dengan menggunakan kad yang baru. Dalam kes yang lebih serius, kecurian identiti boleh memudahkan atau membiayai jenayah lain termasuk keganasan, imigrasi haram dan emel maklumat palsu (‘phishing’). Dengan mencuri maklumat yang mencukupi, pencuri boleh mendapatkan pulangan cukai, berpura-pura menjadi orang lain jika ditangkap, atau menggunakan habis perlindungan insurans perubatan mangsa (kecurian identiti perubatan).
Tanda-tanda amaran bahawa anda mungkin menjadi mangsa kecurian identiti:
- Anda menjangkakan kad kredit atau debit baru tiba di dalam mel tetapi ia lambat
- Anda melihat urusniaga yang tidak dilakukan oleh anda apabila menyemak penyata kad kredit anda
- Surat, bungkusan atau surat penting yang anda harapkan hilang secara konsisten
- Anda telah menerima notis litigasi atau dokumen pengadilan untuk sesuatu yang anda tidak lakukan
Beberapa jenis pencurian identiti biasa:
1. Kecurian identiti kewangan
Ini adalah jenis kecurian identiti yang paling kerap berlaku. Pencuri identiti mencuri data kewangan seperti nombor kad kredit dan debit untuk mendapatkan manfaat ekonomi menggunakan nama mangsa. Ini termasuk mendapatkan kredit, pinjaman, barangan dan perkhidmatan sementara berpura-pura menjadi orang lain. Mangsa akhirnya akan dapat melihat perkara-perkara seperti bil untuk pembelian yang tidak pernah dibuat, pembukaan akaun baru, notis peringatan dari bank yang kad kredit mereka telah digunakan sehingga had maksima dan sebagainya.
2. Kecurian identiti berjenayah
Ini adalah jenis kecurian identiti yang sangat memudaratkan. Kecurian identiti jenayah berlaku apabila seseorang menggunakan identiti dengan maklumat anda untuk melepaskan diri dari tuduhan jenayah. Apabila penjenayah dituduh atau ditangkap, mereka memberikan pengenalan palsu. Anda kemudian akan terlepas tarikh pendengaran mahkamah kerana tidak menyedari perkara ini, dan ini boleh
menyebabkan sabitan jenayah yang teruk terhadap rekod anda. Bukan sahaja ini akan merosakkan nama anda, ia boleh menjejaskan peluang anda untuk mendapatkan pekerjaan atau menyebabkan anda dihalang daripada meninggalkan negara ini oleh jabatan imigresen.
3. Kecurian identiti secara sintetik
Satu jenis kecurian identiti yang agak baru, pencuri mungkin menggabungkan maklumat yang mereka telah curi dari pelbagai mangsa untuk mencipta identiti ‘sintetik’ yang baru. Pencurian identiti jenis ini memberi kesan negatif kepada semua mangsa yang maklumatnya digunakan dalam penciptaan identiti palsu. Pencuri mungkin tidak menggunakan nama anda, tetapi alamat atau nombor telefon anda mungkin digunakan untuk aktiviti penipuan dan jenayah mereka.
4. Kecurian identiti perubatan
Ini berlaku apabila seseorang ingin mendapatkan rawatan perubatan di bawah identiti yang dicuri. Pencuri identiti mungkin menggunakan maklumat anda apabila menerima rawatan perubatan untuk mengelakkan pembayaran bil. Penipuan kewangan boleh merosakkan kredit anda dan mengakibatkan bil perubatan yang besar. Terdapat juga bahaya rekod perubatan pencuri yang digabungkan dengan rekod peribadi anda. Doktor menggunakan sejarah perubatan anda untuk membuat keputusan mengenai rawatan dan membuat diagnosis penyakit berdasarkan sejarah perubatan semasa dan masa lalu anda. Maklumat yang tidak tepat boleh menyebabkan diagnosis salah atau prosedur rawatan yang merbahaya.
5. Pemalsuan alamat
Pencuri identiti boleh mengubah alamat surat-menyurat anda tanpa pengetahuan anda, kemudian mengalihkan semua surat anda ke alamat yang lain. Dengan memeriksa surat anda. pencuri boleh mendapat maklumat tambahan yang berguna mengenai anda. Ia juga merupakan pencerobohan privasi anda kerana ia membolehkan mereka melihat surat-menyurat peribadi anda.
Bagaimana anda boleh mencegah kecurian identiti
Walaupun anda mungkin tidak dapat menghalang pencuri daripada mencuri maklumat anda sepenuhnya, terdapat langkah-langkah yang anda boleh ambil untuk membantu melindungi maklumat peribadi anda yang sensitif.
Berikut adalah 8 cara untuk mencegah kecurian identiti:
- Dapatkan laporan kredit anda secara berkala dan semaknya untuk memastikan ia tidak mengandungi maklumat yang mencurigakan seperti akaun yang tidak anda buka, atau sebarang maklumat seperti prosedur litigasi.
- Semak penyata bank dan kad kredit anda dengan teliti untuk pembelian yang anda tidak lakukan.
- Awas terhadap ‘pelayar bahu’. Pastikan papan kekunci tidak kelihatan semasa menaip kata laluan anda di komputer dan di mesin ATM.
- Berhati-hati apabila menyimpan kata laluan tertulis, terutama sekali dalam dompet, dalam kereta atau di pejabat anda. Cuba hafal kata laluan anda. Sekiranya anda perlu menuliskannya, gunakan kod khas yang hanya anda seorang boleh fahami.
- Jangan membalas permintaan mencurigakan untuk maklumat peribadi (nama anda, tarikh lahir, maklumat keluarga atau nombor akaun bank) melalui telefon, mel, atau atas talian.
- Musnahkan atau lupuskan resit-resit anda, tawaran kredit, penyata akaun dan kad yang telah luput.
- Jangan meninggalkan dokumen peribadi dan data peribadi penting di tempat terbuka; ini memberi kesempatan kepada orang lain untuk mencuri maklumat anda dengan mudah.
- Jangan sekali-kali mengabaikan surat misteri atau tanda-tanda yang mencurigakan, terutamanya jika anda menyedari pola yang berulang. Ini boleh menjadi tanda bahawa orang lain telah menggunakan maklumat anda, atau jenayah telah dilakukan menggunakan nama anda. Teliti semua dokumen undang-undang dan mahkamah, dan ambil langkah segera untuk membetulkan keadaan.