Anda boleh mempunyai skor kredit yang sihat walaupun tengah menguruskan berbilang pinjaman. Perkara penting yang perlu diingat ialah rekod pembayaran anda membentuk 45% daripada CTOS Score anda, jadi pembayaran balik pinjaman yang lewat boleh menyebabkan skor anda turun. Untuk mengekalkan CTOS Score yang sihat, pastikan anda tidak mengabaikan obligasi kredit bulanan anda – daripada pembayaran kenderaan anda kepada pinjaman PTPTN, pinjaman perumahan atau pembayaran balik kad kredit, semua pembayaran ini harus dibuat tepat pada masanya.
Berikut adalah 3 petua untuk menguruskan pinjaman dengan lebih baik untuk memastikan CTOS Score yang sihat:
- Langsaikan semua bayaran bulanan yang lewat / tertunggak
Jika anda telah terlepas sebarang pembayaran pada masa lalu, jangan risau – selesaikan pembayaran untuk bulan-bulan yang anda terlepas sehingga tarikh semasa. Kemudian, semaikan disiplin untuk tidak terlepas bayaran lagi. Berusaha untuk tidak melangkau atau terlepas sebarang pembayaran lagi sekurang-kurangnya untuk 6 bulan akan datang, kerana ianya mengambil masa untuk skor kredit anda bertambah baik, selain memerlukan tingkah laku pembayaran yang konsisten dan berdisiplin.
- Gunakan kemudahan pembayaran auto debit
Mempunyai sistem debit automatik bermakna anda tidak perlu risau terlupa atau terlepas pembayaran balik bulanan anda. Kemudahan pembayaran auto debit akan memastikan bahawa jumlah bayaran yang diperlukan (seperti pembayaran balik pinjaman kereta bulanan anda) akan ditolak secara automatik daripada simpanan bank atau akaun semasa anda. Semak dengan bank anda untuk mendapatkan senarai syarikat yang sedia menerima pembayaran pinjaman melalui auto debit.
- Semak laporan kredit anda secara berkala
Semak semua maklumat dalam laporan kredit anda secara berkala, seperti laporan penuh MyCTOS Score anda. Bahagian C1 laporan MyCTOS Score anda yang dikemaskini akan menunjukkan butiran CCRIS penuh anda, jadi anda akan dapat menjejaki pembayaran yang terlepas atau dibayar tepat pada masanya.
Berikan perhatian terhadap sebarang maklumat negatif yang disenaraikan dan semak sama ada maklumat tersebut adalah tepat, kerana sebarang maklumat negatif yang disenaraikan dalam laporan anda boleh menjejaskan skor kredit anda. Jika anda melihat sebarang ketidaktepatan, hubungi agensi pelaporan kredit anda secepat mungkin untuk membetulkannya.
Berapa lama masa yang diambil untuk skor saya bertambah baik?
Lama kelamaan, pembayaran lewat akan kurang memberi kesan pada skor kredit anda. Akhirnya, skor anda akan bertambah baik, selagi anda membayar semua pinjaman anda tepat pada masanya dan mengekalkan nisbah penggunaan kredit yang rendah, iaitu jumlah hutang yang anda miliki berbanding dengan jumlah kredit yang anda ada. Nisbah penggunaan kredit yang optimum adalah di bawah 30%. Untuk meningkatkan skor anda secepat mungkin, cuba pastikan nisbah penggunaan kredit anda di bawah 10%.
Gunakan laporan MyCTOS Score untuk menjejaki pengurusan pinjaman anda dengan lebih baik, serta sentiasa memantau kewajipan kredit anda untuk memastikan anda mengekalkan CTOS Score yang sihat.