Artikel ini diterbitkan oleh iMoney bersama CTOS.
Siswazah yang baru meninggalkan universiti mempunyai kehidupan baru di hadapan mereka, dari kerjaya sehingga usaha untuk mencapai matlamat kewangan mereka, seperti membeli kereta dan rumah pertama mereka. Mereka juga pasti ingin berkahwin dan memulakan keluarga masing-masing. Kesemua matlamat dan niat ini boleh terjejas sebelum kehidupan mereka sebagai seorang dewasa yang berdikari bermula. Ini boleh berlaku akibat pinjaman pelajaran yang tidak dikendalikan dengan betul.
Masa depan yang cerah tidak patut terjejas akibat pinjaman pelajar, tetapi jika dilihat dari segi realiti, ini boleh terjadi dengan mudah.
PTPTN mula menyenaraikan peminjamnya di CCRIS pada Jun 2015 sebagai satu cara untuk menggalakkan peminjam untuk membayar balik pinjaman pelajaran mereka.
Bagaimanakah pinjaman PTPTN boleh menjejaskan kesihatan kredit?
Di Malaysia, bayaran balik pinjaman PTPTN bermula enam bulan selepas pembiayaan berakhir untuk memberi peminjam masa untuk mencari pekerjaan sebelum mereka memulakan pembayaran balik pinjaman mereka. Sekiranya peminjam konsisten membuat bayaran balik, pinjaman pelajaran PTPTN sebenarnya boleh memperbaiki rekod kredit kerana peminjam akan dilihat sebagai pengguna kredit yang bertanggungjawab. Walau bagaimanapun, jika bayaran balik pinjaman PTPTN tidak dibuat secara konsisten, akibatnya biasanya buruk kerana peminjam akan memulakan kehidupan baru dengan masalah kredit.
Sebagai contoh, kad kredit atau permohonan pinjaman peribadi anda boleh ditolak oleh bank apabila pihak bank melihat (melalui laporan CTOS atau maklumat CCRIS) bahawa anda telah terlepas bayaran balik pinjaman PTPTN anda. Memandangkan anda mempunyai rekod kredit sedemikian, mereka mungkin tidak yakin dengan keupayaan anda untuk membayar balik pinjaman pada masanya.