Skor kredit anda adalah petunjuk penting kesihatan kewangan anda, jadi amatlah penting untuk memupuk tabiat kredit yang positif untuk membina dan mengekalkan rekod kredit yang baik. Ketahui dan elakkan kesilapan kredit yang biasa kerana ianya boleh menyekat kemajuan anda dan menjejaskan skor kredit anda pada masa hadapan.
Kesilapan 1: Hanya menyemak laporan kredit anda bila ada masalah
Laporan kredit anda mengandungi banyak maklumat penting seperti skor kredit anda, maklumat CCRIS, maklumat pengarah dan perdagangan, litigasi dan banyak lagi. Sekiranya anda hanya menyemak laporan anda apabila menghadapi masalah, ia akan memakan masa yang lebih lama untuk menyelesaikan sebarang isu kredit kelak.
Menyemak laporan kredit anda secara berkala membolehkan anda mengenalpasti aspek-aspek kesihatan kredit anda yang memerlukan perhatian dengan lebih awal, jadi anda boleh mengambil langkah segera untuk membetulkannya. Dengan ini, kesihatan kredit anda akan sentiasa ‘bersedia’ untuk masa anda memerlukannya, misalnya untuk memohon pinjaman.
Kesilapan 2: Tidak membayar bil tepat pada masanya
Rekod pembayaran mempunyai pengaruh yang besar terhadap skor kredit anda iaitu 45%. Jika anda terlepas hanya satu bayaran, skor kredit anda boleh terjejas dan anda boleh dikenakan caj bayaran lewat dan denda. Rekod pembayaran lewat akan kekal dalam data CTOS / CCRIS selama 24 bulan dan ianya akan digunakan untuk menjana skor kredit anda. Walaupun kesannya terhadap skor anda mungkin berkurang dari masa ke semasa dengan maklumat positif yang baru, ia masih boleh menjejaskan perkembangan kredit anda sepanjang masa ianya kekal dalam laporan anda.
Untuk memastikan anda membayar semua bil anda tepat pada masanya, minta peringatan pembayaran dari pemberi pinjaman anda atau gunakan kemudahan autopay melalui akaun bank anda. Pastikan anda mempunyai wang yang mencukupi dalam akaun bank anda setiap bulan untuk menampung bil-bil anda.
Kesilapan 3: Menandatangani pinjaman bersama
Sekiranya rakan atau saudara anda tidak boleh mendapatkan kelulusan pinjaman untuk diri mereka, ini biasanya bermakna kedudukan kredit mereka tidak kukuh. Sekiranya peminjam tidak membayar balik pinjaman seperti yang dipersetujui, anda perlu membayar hutang tersebut dan ini boleh merosakkan perhubungan peribadi anda.
Tolak permintaan tersebut secara sopan dan sensitif. Sebaliknya, cadangkan agar mereka berusaha untuk memperbaiki kesihatan kredit mereka terlebih dahulu sebelum memohon sebarang pinjaman. Cara yang baik untuk mereka bermula adalah dengan menyemak laporan kredit mereka serta mendapatkan bimbingan kaunselling kewangan.