Cara mengelakkan pembayaran lewat & melindungi kredit anda

Pembayaran lewat atau tertunggak akan mengakibatkan kesan negatif terhadap kesihatan kredit anda. Misalnya, jika anda gagal membuat bayaran bulanan untuk kad kredit atau pinjaman, ia akan dicatatkan dalam rekod CCRIS anda dan akan menurunkan skor kredit anda. Ia juga boleh menjejaskan peluang anda untuk mendapatkan pinjaman kelak. Bukan itu sahaja, anda akan dikenakan caj tambahan akibat pembayaran lewat!

Berikut adalah 3 cara untuk mengelakkan pembayaran lewat dan melindungi kredit anda:

1. Daftar untuk autodebit

Perkhidmatan autodebit adalah kemudahan pembayaran bil automatik. Bil-bil anda akan dibayar dengan menolak baki simpanan/ akaun semasa anda mengikut jadual yang tetap. Cara ini dapat mengurangkan risiko pembayaran lewat kerana anda tidak perlu risau anda akan lupa membayar bil. Hubungi bank anda untuk maklumat lanjut seperti adakah terdapat sebarang caj untuk perkhidmatan ini, biasanya ia sangat rendah. Anda juga perlu memastikan anda mempunyai wang yang mencukupi di dalam akaun bank anda supaya sistem autodebit boleh berfungsi tanpa gangguan. Sekiranya tidak, anda mungkin akan dikenakan bayaran tambahan.

2. Buat peringatan pembayaran untuk diri sendiri

Telefon pintar, tablet atau komputer pejabat yang anda gunakan mempunyai fungsi peringatan kalendar yang boleh anda gunakan untuk membantu anda mengingati tarikh pembayaran. Sekiranya anda lebih menyukai kaedah tradisional, kalendar meja atau buku harian mungkin lebih sesuai supaya anda tidak melupakan obligasi kredit anda.

3. Semak laporan kredit anda secara berkala

Laporan MyCTOS Score anda yang dikemas kini mempunyai maklumat terperinci mengenai semua aspek kesihatan kredit anda. Bahagian laporan yang paling berguna untuk membantu anda membuat bayaran pada masanya adalah rekod CCRIS anda. Rekod CCRIS akan menunjukkan jika anda mempunyai bayaran tertunggak sepanjang 12 bulan, supaya anda boleh merancang untuk melangsaikan amaun tersebut.

Laporan MyCTOS Score anda yang terkini juga akan menunjukkan skor kredit semasa anda dan anda boleh menggunakannya sebagai rujukan untuk meningkatkan skor tersebut dengan membuat semua pembayaran bulanan anda secara konsisten dan tepat pada masanya.