5 Tip untuk Kebebasan Kewangan

Salah satu perasaan yang paling melegakan ialah perasaan bebas dari segi kewangan. Kebebasan kewangan tidak bermakna hanya sekadar hidup bebas hutang, kerana ia mungkin tidak realistik untuk menghapuskan hutang sepenuhnya dalam gaya kehidupan moden.

Apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan kebebasan kewangan ialah mempunyai pelan jangka panjang yang baik untuk kewangan anda, merancang perbelanjaan anda dengan teliti dan membuat keputusan yang bijak. Berikut adalah 5 tip untuk kebebasan kewangan:

Tip #1: Luangkan masa untuk membuat perancangan kewangan yang serius.

Kebanyakan orang mempunyai idea ‘ideal’ mengenai kebebasan kewangan, tetapi kebanyakan idea ini mungkin perlu pertimbangan yang lebih mendalam. Fikirkan apa sebenarnya visi ‘ideal’ anda, dan kemudian dapatkan nasihat kewangan dari pihak yang berkelayakan untuk menetapkan (atau menetapkan semula) pelan anda. Jalan menuju ke kebebasan kewangan mungkin jauh berbeza pada usia 25 tahun berbanding usia 60 tahun. Tidak kira apa usia anda, mulakan dengan gambaran realistik tentang semua pilihan anda, kemudian buat rancangan anda dengan sewajarnya.

Sesuatu yang benar-benar boleh membantu anda membuat perancangan kewangan adalah mengetahui kedudukan dan kesihatan kredit anda secara tepat. Sekiranya anda belum melakukannya baru-baru ini, dapatkan laporan kredit penuh anda dengan skor kredit – gunakannya sebagai panduan untuk memperbaiki situasi kewangan anda jika perlu.

Tip #2: Berbelanja kurang dari pendapatan anda.

Kebanyakan orang sedar akan ‘peraturan’ ini, tetapi ia tetap menjadi satu tabiat kewangan yang amat sukar untuk diamalkan. Anda memerlukan pandangan yang realistik tentang apa yang anda mampu dan tidak mampu, berdasarkan pendapatan dan gaya hidup semasa anda.

Taraf hidup yang sederhana dan perbelanjaan yang lebih rendah akan membantu sesiapa sahaja untuk mengumpul lebih banyak wang untuk simpanan dan pelaburan dengan lebih cepat. Peraturan yang berguna ialah untuk menyimpan antara 10-15 peratus daripada pendapatan kasar anda dalam tabungan atau pelaburan.

Tip # 3: Rancang perbelanjaan secara realistik.

Untuk menjejaki perbelanjaan anda dengan sempurna, perancangan perbelanjaan anda haruslah berkesan. Ianya merupakan proses mengambil kira jumlah pendapatan, mengurangkan perbelanjaan dan memutuskan cara untuk mengalihkan baki wang ke arah matlamat anda. Ini adalah salah satu langkah yang paling penting untuk mencapai kebebasan kewangan.

Tip # 4: Amalkan gaya kehidupan yang lebih sederhana.

Tidak kira usia anda, kebebasan kewangan memerlukan penilaian teliti mengenai jumlah wang, jenis harta dan barang yang anda perlukan untuk hidup dengan gembira dan selamat. Ia mungkin juga boleh membantu menghentikan perbuatan masa lalu yang mempunyai pengaruh negatif terhadap kewangan dan perbelanjaan anda (seperti bersaing dengan orang lain dari segi gaya hidup, harta benda dan kewangan).

Secara umum, mengurangkan perbelanjaan hidup anda secara keseluruhan bermakna anda akan mencapai matlamat anda dengan lebih cepat. Bagi sesetengah orang, ini boleh bererti menjual rumah anda dan berpindah ke kediaman yang lebih kecil, atau ke kawasan yang mempunyai kos hidup yang lebih rendah.

Tip # 5: Kurangkan jumlah hutang.

Mempunyai sedikit hutang tidak menjadi masalah, terutamanya jika ia melibatkan pelaburan jangka panjang seperti hartanah yang telah dirancang dengan teliti. Menyingkirkan hutang lain (bukan perumahan) adalah salah satu perkara yang amat berkesan yang boleh anda lakukan supaya anda mempuyai lebih banyak wang untuk tujuan simpanan dan pelaburan.

Rumusan

Adalah bijak untuk sentiasa tahu kedudukan anda dari segi kewangan. Perancangan kewangan tidak hanya bermakna anda membuat beberapa keputusan kewangan dan mengabaikan semua perkara lain. Perancangan kewangan anda mesti cukup fleksibel untuk menampung perubahan positif dan negatif tanpa menjejaskan matlamat anda iaitu kebebasan kewangan. Jika anda tidak mahir dalam pelaburan, perancangan kewangan atau perkara-perkara cukai, dapatkan bantuan profesional atau nasihat daripada pihak yang berkelayakan.

Keupayaan kewangan serta kemampuan untuk mengamalkan gaya hidup pilihan anda tanpa risau adalah ganjaran yang besar. Jika anda berasa anda semakin terpesong dari matlamat anda, buatlah keputusan untuk bermula secepat  mungkin. Kebebasan kewangan memerlukan usaha dan disiplin, tapi langkah-langkah kecil boleh membantu anda mencapai matlamat tersebut dengan lebih cepat.