Hutang mungkin tidak boleh dilupuskan serta-merta, terutamanya jika anda telah membuat pelaburan penting seperti membeli rumah. Walau bagaimanapun, hutang boleh diuruskan dengan lebih efektif supaya anda mempunyai kawalan yang lebih baik terhadap situasi kewangan anda. Jika hutang anda diurus dengan baik, ini akan memberi kesan yang positif terhadap kesihatan kredit anda dalam jangka masa panjang.
Berikut ialah 5 tip mengenai cara menguruskan hutang anda dengan lebih baik.
1. Rekod Perbelanjaan Anda dan Buat Senarai.
Cara terbaik untuk mengawal hutang ialah dengan menganalisis tabiat perbelanjaan anda dan mengenalpasti semua perbelanjaan yang tidak diperlukan. Cuba ini: untuk tempoh masa sebulan, rekod setiap sen yang anda belanjakan, termasuk apa yang anda anggap sebagai perbelanjaan kecil (seperti makanan atau tiket wayang). Dengan melakukan ini, anda akan dapat melihat dengan jelas berapa banyak perbelanjaan anda dan bagaimana anda boleh mengurangkannya.
Seterusnya, buatkan senarai semua kewajipan hutang anda dan faedah yang anda dikenakan untuk setiap pinjaman tersebut. Susun semuanya mengikut kadar faedah, dari yang tertinggi sehingga ke terendah. Sebaik sahaja anda melakukan langkah-langkah ini, lebih mudah untuk lihat di mana anda boleh mengurangkan perbelanjaan anda.
Cara yang baik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kewangan, kredit dan skor kredit adalah untuk mendapatkan dan menyemak laporan kredit penuh anda. Contohnya, laporan MyCTOS Score penuh akan memberikan anda gambaran menyeluruh mengenai kesihatan kredit anda dan memberi anda gambaran mengenai kedudukan anda di mata bank dan peminjam.