Sungguh menakjubkan jumlah pengguna yang kini membeli-belah atas talian – dari barangan runcit kepada makanan tambahan kesihatan, barangan fesyen luar negara terkini sehinggalah alat ganti kereta, hampir semua barangan yang dijual di setiap pelosok dunia boleh menjadi milik kita tanpa mengira lokasi.
Walaupun kesenangan dan senarai pilihan terkini adalah menakjubkan, kuasa digital ini mempunyai kelemahannya tersendiri, terutama sekali risiko menjejaskan maklumat peribadi sensitif anda atas talian secara tidak sengaja.
Berikut ialah beberapa petua mengenai cara memastikan maklumat dan identiti anda lebih selamat semasa membeli-belah atas talian.
1. Hanya membeli-belah di laman web yang sahih
Pastikan laman web yang anda gunakan mempunyai reputasi yang baik dan rekod keselamatan yang kukuh. Jangan sesekali membeli sesuatu atas talian menggunakan kad kredit anda jika laman web yang berkenaan tidak dilindungi dengan penyulitan SSL (lapisan soket selamat). Anda boleh mengetahui sama ada laman web dilindungi dengan penyulitan SSL, kerana barisan URL untuk laman web tersebut akan bermula dengan HTTPS, bukan HTTP. Ikon mangga yang berkunci juga akan muncul, biasanya di sebelah kiri URL pada barisan alamat.
2. Gunakan kata laluan yang berbeza untuk laman web membeli-belah atas talian yang berbeza
Pastikan kata laluan anda kuat dan unik untuk mengurangkan kemungkinan orang lain menggodamnya.
3. Elakkan berkongsi maklumat peribadi secara berlebihan
Segelintir kecil peruncit atas talian mungkin akan meminta tarikh hari jadi anda supaya boleh memberikan perkhidmatan yang lebih sesuai, atau untuk tujuan menawarkan promosi hari jadi. Tetapi, jika penjahat mendapatkan maklumat ini berserta nombor kad kredit anda, mereka boleh melakukan banyak perkara yang tidak baik. Semakin banyak maklumat yang diketahui penjahat, semakin mudah untuk identiti anda dicuri. Jika anda mempunyai pilihan, hanya kongsikan maklumat peribadi yang benar-benar diperlukan sahaja.
4. Jangan membeli-belah menggunakan WiFi awam
Membeli-belah atas talian memerlukan maklumat peribadi yang sensitif seperti nombor akaun bank atau butiran kad kredit, jadi jangan mengambil risiko. Untuk keselamatan anda, hanya buat pembelian atas talian melalui rangkaian Wi-Fi yang selamat, sebaiknya WiFi peribadi rumah anda atau rangkaian lain yang dikenali.
5. Semak notifikasi CTOS SecureID anda secara kerap
Sebagai pelanggan CTOS SecureID, anda akan menerima notifikasi sekiranya terdapat sebarang perubahan dalam profil kredit anda seperti permohonan kredit baru, perubahan had kredit, penutupan akaun atau jika maklumat anda muncul di jaringan gelap.
Sekiranya anda masih belum melengkapkan pemantauan jaringan gelap anda, sila berbuat demikian untuk memastikan anda dilindungi – anda hanya perlu log masuk ke akaun anda dan isikan maklumat yang anda ingin kami pantau.