Wang Simpanan Kecemasan (Dana Kecemasan) Boleh
Melindungi Kredit Anda
Kredit boleh memberikan anda kualiti kehidupan yang lebih baik jika ia digunakan secara bertanggungjawab. Kredit membolehkan anda berbelanja besar untuk sesuatu yang anda mungkin tidak mampu beli secara tunai, misalnya rumah dan kenderaan. Amatlah penting untuk membina dan melindungi kredit anda supaya ianya sentiasa sedia untuk digunakan apabila benar-benar diperlukan. Rekod kredit yang baik memerlukan masa untuk dibina, dan cara anda menggunakan kredit hari ini dan kelak boleh menyebabkan impak jangkamasa panjang ke atas kesihatan kredit anda.
Mempunyai simpanan atau dana kecemasan tunai adalah alat penting untuk membantu melindungi kredit anda, serta situasi kewangan anda secara keseluruhan. Apabila kos perbelanjaan yang tidak dijangka meningkat, dana kecemasan boleh digunakan dan anda tidak perlu bergantung semata-mata pada kredit anda untuk membayar bil. Anda akan dapat menanggung perbelanjaan tersebut jika anda mempunyai dana kecemasan yang khusus.
Bagaimanakah Dana Kecemasan Boleh Membantu Saya?
Ramai pengguna tidak memberi kepentingan terhadap simpanan, apatah lagi dana kecemasan. Tanpa dana kecemasan, bagaimanakah seseorang mengendalikan perbelanjaan yang tidak dijangka? Dalam situasi kecemasan, ada yang boleh memilih untuk meminjam dari bank, keluarga atau rakan-rakan, atau gunakan kad kredit untuk melangsaikan bayaran. Lebih buruk lagi ialah mereka yang akan memilih untuk tidak membuat pembayaran atau mengabaikan bil kecemasan sama sekali, tindakan yang boleh mengakibatkan kerosakan besar pada kredit.
Dana kecemasan adalah penting untuk kestabilan kewangan, keselamatan emosi dan sebagai perlindungan untuk kredit anda. Mempunyai dana kecemasan bermakna anda tidak perlu membuat keputusan yang boleh merosakkan kredit anda, seperti mengabaikan bayaran bulanan atau menggunakan kad kredit untuk perbelanjaan kecemasan. Jika anda mampu menggunakan wang tunai untuk menampung bil yang tidak dirancang bermakna anda mempunyai kredit yang tidak diganggu apabila anda mahu menggunakannya, bukan apabila anda perlu dan tidak mempunyai pilihan lain.
Berapa Banyak Yang Saya Perlu Simpan?
Dana kecemasan mempunyai satu lagi tujuan kritikal-untuk membantu menampung semua perbelanjaan anda sekiranya anda kehilangan pekerjaan dan pendapatan anda. Atas sebab ini, penting untuk mempunyai amaun yang cukup dalam dana kecemasan anda untuk menampung perbelanjaan berbilang bulan. Pakar biasanya mengesyorkan anda mempunyai cukup simpanan untuk menampung perbelanjaan tiga hingga enam bulan.
Simpan wang dana kecemasan anda dalam akaun bank yang membolehkan anda mengaksesnya dengan mudah apabila anda memerlukannya. Walau bagaimanapun, jangan membolehkan akses begitu mudah sehingga anda tertarik untuk menggunakan wang dana untuk tujuan bukan kecemasan.
Bagaimanakah Cara Untuk Mula Membina Dana Kecemasan Saya?
Jika anda sudah mempunyai simpanan, putuskan sama ada anda boleh mengalihkan sebahagian daripadanya ke simpanan dana kecemasan. Jika anda bermula dari awal, beberapa langkah mudah dapat membantu anda menubuhkan dana kecemasan dan berkembang ke tahap yang anda perlukan:
- Beri diri anda matlamat simpanan. Bahagikan jumlah yang anda mahu simpan dengan jumlah yang anda rasa selesa untuk menyimpan dalam dana setiap bulan. Dari ini, anda akan tahu berapa bulan yang diperlukan untuk mencapai matlamat dana kecemasan anda.
- Kurangkan perbelanjaan yang tidak diperlukan. Berapa banyak yang anda habiskan setiap bulan dalam kedai kopi, restoran makanan segera atau pawagam? Semak perbelanjaan bulanan anda untuk tahu di mana anda boleh mengurangkan perbelanjaan, kemudian masukkan wang tersebut terus ke dalam dana kecemasan anda.
- Tingkatkan pendapatan anda. Anda boleh mendapatkan pekerjaan yang membayar gaji lebih. Atau, jika anda puas dengan pekerjaan anda sekarang, pertimbangkan kerja separuh masa yang kedua untuk membiayai akaun kecemasan.
Bagaimanakah Cara Untuk Melindungi Dana Kecemasan?
Memang amat senang untuk membelanjakan wang dana kecemasan anda walaupun anda tidak menghadapi situasi kritikal, misalnya untuk percutian atau perancangan perkahwinan. Anda disyorkan membuat senarai sebab-sebab yang “diluluskan” untuk penggunaan wang dalam dana kecemasan anda, seperti kerja-kerja pembaikan rumah yang tidak diliputi insurans, pembaikan kenderaan atau bil perubatan yang tidak dijangka. Anda juga boleh menghadkan cara anda mengakses dana anda.