Cara mengenalipasti panggilan scam

Scammer semakin kreatif dalam percubaan mereka untuk mencuri maklumat. Salah satu kaedah yang sering digunakan adalah dengan panggilan penipuan (panggilan scam), di mana scammer akan menelefon mangsa dan menggunakan pelbagai taktik untuk membuatkan mereka mendedahkan maklumat peribadi yang sensitif seperti kata laluan, nombor MyKad, nombor akaun bank dan banyak lagi.

Berikut adalah beberapa tanda amaran panggilan penipuan:

1. Pemanggil cuba membuatkan anda mendedahkan maklumat sensitive

Contohnya, pemanggil mungkin mendedahkan ‘berita buruk’ kepada anda, seperti pembayaran cukai yang belum selesai, kemudian mereka menawarkan untuk membantu anda membuat pembayaran dengan lebih cepat untuk elak daripada dikenakan tindakan undang-undang. Di sinilah mereka boleh meminta maklumat sensitif seperti kata laluan, nombor akaun dan banyak lagi.

2. Pemanggil cuba untuk menakutkan anda dengan ancaman atau berita buruk

Pemanggil akan cuba membuat anda panik supaya anda tidak berfikir dengan betul dan akan mendedahkan maklumat sensitif dengan lebih mudah dan tanpa disedari

3. Anda disuruh untuk membuat pemindahan wang dengan serta-merta untuk bayaran yang belum diselesaikan

Pada mulanya, pemanggil menyamar sebagai pegawai dari agensi kerajaan atau organisasi lain yang bereputasi untuk cuba mendapatkan kepercayaan anda. Berhati-hati jika pemanggil cuba mewujudkan rasa mendesak, terutamanya untuk pembayaran yang belum selesai yang anda tidak tahu. Ingat, jika anda mempunyai perkara rasmi sebenar yang perlu ditangani, anda sepatutnya menerima surat rasmi ke alamat berdaftar (rumah atau pejabat) anda. Walau apa sekali pun, lakukan penyiasatan anda sendiri untuk mengetahui nombor hubungan rasmi organisasi yang dinyatakan oleh pemanggil dan hubungi semula untuk menyemak jika anda mempunyai sebarang keraguan.

4. Mereka mendakwa membuat panggilan dari syarikat yang bereputasi, tetapi nombor tersebut kelihatan mencurigakan

Pelbagai panggilan scam di Malaysia telah pun berlaku, dengan pemanggil berpura-pura menjadi pegawai dari bank, jabatan hasil dalam negeri dan sebagainya. Walau bagaimanapun, orang telah melaporkan bahawa nombor pemanggil kelihatan ‘tidak rasmi’, seperti nombor telefon generik (syarikat besar biasanya mempunyai nombor dengan beberapa digit berulang) atau nombor telefon bimbit.

Apa yang patut dilakukan jika anda mengesyaki panggilan adalah panggilan scam

Jika anda mengesyaki bahawa panggilan tersebut bukan panggilan yang sahih, tamatkan panggilan secara serta-merta. Jika anda ingin menyiasat dengan lebih lanjut, lakukan carian atas talian untuk mendapatkan nombor hubungan rasmi syarikat, kemudian cuba hubungi semula atau hantar e-mel ke alamat e-mel rasmi mereka untuk verifikasi lebih lanjut. Lebih baik lagi, lawati bangunan atau pejabat fizikal terus jika anda boleh.

Jika pemanggil cuba memaksa, mengancam atau meyakinkan anda untuk memindahkan wang untuk apa-apa sebab, jangan lakukannya! Pastikan anda melakukan siasatan anda sendiri terlebih dahulu untuk mengesahkan sama ada panggilan itu sahih. Anda juga boleh meminta nasihat daripada ahli keluarga atau rakan yang dipercayai selepas menerima panggilan sedemikian.

Lindungi diri anda daripada scammer dengan CTOS SecureID

CTOS SecureID melindungi anda daripada kecurian identity dan penipuan. Langgani CTOS SecureID sekarang untuk menikmati semua faedah di bawah: