Membina skor kredit boleh menjadi mencabar. Jika anda tiada sejarah kredit, agak sukar untuk mendapatkan pinjaman, kad kredit atau bahkan membeli rumah. Tetapi bagaimana anda boleh membuktikan bahawa anda seorang peminjam yang bertanggungjawab jika tiada siapa yang mahu beri anda kredit pada mulanya?
Walaupun ia memerlukan sedikit masa dan kesabaran, membina skor kredit tidaklah terlalu sukar jika anda tahu caranya. Berikut ialah beberapa cara untuk membina sejarah kredit, walaupun anda bermula dari kosong.
Cara Membina Kredit dengan Kad Kredit
Kad kredit ialah alat kewangan yang sangat berguna, dan jika digunakan dengan bijak, ia boleh membantu anda membina kredit. Namun begitu, adalah penting untuk menguruskan penggunaan kad kredit dengan berhemah kerana ia juga boleh membawa kepada hutang jika disalahgunakan.
Berikut cara membina kredit melalui kad kredit:
- Dapatkan kad kredit bercagar (secured credit card)
Jika anda mempunyai sejarah kredit yang terhad atau negatif, anda mungkin sukar untuk mendapatkan kad kredit biasa. Kad kredit bercagar boleh jadi pilihan. Kad ini biasanya dikaitkan dengan akaun simpanan, dan had kredit ditentukan berdasarkan jumlah simpanan tersebut atau sebahagiannya.
Sama seperti kad kredit biasa, anda boleh membina kredit dengan kad bercagar melalui penggunaan yang bertanggungjawab, memastikan baki kekal rendah atau sifar, dan sentiasa membayar tepat pada masanya. Tidak semua pemberi pinjaman melaporkan kad kredit bercagar kepada agensi pelaporan kredit, jadi anda perlu bertanya terlebih dahulu sebelum buka akaun. Sesetengah pemberi pinjaman juga boleh tukarkan kad bercagar anda kepada kad kredit biasa selepas satu tempoh tertentu.
- Pastikan ada aktiviti pada kad anda
Untuk mempunyai skor kredit, mesti ada aktiviti pada kad kredit anda dalam tempoh 6 bulan terakhir. Aktiviti ini tidak bermakna anda perlu berhutang. Anda boleh buat satu pembelian kecil setiap bulan (walaupun hanya RM1) – itu sudah dikira sebagai aktiviti. Cara terbaik ialah menggunakan kad anda untuk satu transaksi bulanan tetap, contohnya bayar bil telefon, Astro atau Netflix.