Membina skor kredit boleh menjadi mencabar. Jika anda tiada sejarah kredit, agak sukar untuk mendapatkan pinjaman, kad kredit atau bahkan membeli rumah. Tetapi bagaimana anda boleh membuktikan bahawa anda seorang peminjam yang bertanggungjawab jika tiada siapa yang mahu beri anda kredit pada mulanya? 

Walaupun ia memerlukan sedikit masa dan kesabaran, membina skor kredit tidaklah terlalu sukar jika anda tahu caranya. Berikut ialah beberapa cara untuk membina sejarah kredit, walaupun anda bermula dari kosong. 

Cara Membina Kredit dengan Kad Kredit 

Kad kredit ialah alat kewangan yang sangat berguna, dan jika digunakan dengan bijak, ia boleh membantu anda membina kredit. Namun begitu, adalah penting untuk menguruskan penggunaan kad kredit dengan berhemah kerana ia juga boleh membawa kepada hutang jika disalahgunakan. 

Berikut cara membina kredit melalui kad kredit: 

  1. Dapatkan kad kredit bercagar (secured credit card)

Jika anda mempunyai sejarah kredit yang terhad atau negatif, anda mungkin sukar untuk mendapatkan kad kredit biasa. Kad kredit bercagar boleh jadi pilihan. Kad ini biasanya dikaitkan dengan akaun simpanan, dan had kredit ditentukan berdasarkan jumlah simpanan tersebut atau sebahagiannya. 

Sama seperti kad kredit biasa, anda boleh membina kredit dengan kad bercagar melalui penggunaan yang bertanggungjawab, memastikan baki kekal rendah atau sifar, dan sentiasa membayar tepat pada masanya. Tidak semua pemberi pinjaman melaporkan kad kredit bercagar kepada agensi pelaporan kredit, jadi anda perlu bertanya terlebih dahulu sebelum buka akaun. Sesetengah pemberi pinjaman juga boleh tukarkan kad bercagar anda kepada kad kredit biasa selepas satu tempoh tertentu. 

  1. Pastikan ada aktiviti pada kad anda

Untuk mempunyai skor kredit, mesti ada aktiviti pada kad kredit anda dalam tempoh 6 bulan terakhir. Aktiviti ini tidak bermakna anda perlu berhutang. Anda boleh buat satu pembelian kecil setiap bulan (walaupun hanya RM1) – itu sudah dikira sebagai aktiviti. Cara terbaik ialah menggunakan kad anda untuk satu transaksi bulanan tetap, contohnya bayar bil telefon, Astro atau Netflix. 

Cara Membina Kredit Tanpa Kad Kredit 

Kad kredit bukan satu-satunya cara untuk membina skor kredit. Ingat, laporan kredit ialah gambaran tentang bagaimana anda menguruskan hutang anda. Setiap kali anda menggunakan kredit dengan bijak, maklumat itu boleh dimasukkan ke dalam laporan kredit anda. 

Berikut cara membina kredit tanpa kad kredit: 

  1. Bayar pinjaman pelajaran dengan berdisiplin

Jika anda tamat pengajian, kemungkinan besar anda ada pinjaman pelajaran. Pinjaman pelajaran dilaporkan kepada biro kredit, jadi membayar pinjaman anda tepat pada masanya setiap bulan akan membantu membina skor kredit. 

  1. Ambil pinjaman ansuran kereta (auto loan)

Pinjaman kereta antara pinjaman paling mudah diperoleh, walaupun kadar faedah dan terma bergantung kepada siapa yang meluluskan pinjaman tersebut. Jika anda ingin membeli kereta, bandingkan tawaran terbaik, dapatkan pinjaman dan pastikan anda membayar ansuran seperti yang dipersetujui setiap bulan. Jika sukar untuk dapat pinjaman sendiri, anda boleh dapatkan penjamin (co-signer). Jenis pinjaman ansuran lain seperti pinjaman peribadi atau gadai janji (mortgage) juga boleh membantu membina sejarah kredit. 

Amalan Terbaik 

Selain daripada tindakan di atas, berikut adalah tabiat yang anda perlu amalkan secara konsisten untuk membina skor kredit yang baik: 

  • Bayar tepat pada masanya. Sentiasa bayar komitmen dan bil anda seawal mungkin, jangan tunggu saat akhir. 
  • Bayar penuh jika boleh. Walaupun kadang-kadang anda hanya mampu bayar minimum, cuba bayar sepenuhnya jika anda mampu. 
  • Jangan mohon terlalu banyak kad atau pinjaman serentak. Ini boleh memberi gambaran anda terdesak dan tidak mampu menguruskan kredit dengan baik. 
  • Semak laporan dan skor anda secara berkala. Ini membantu anda tahu di mana tahap kesihatan kredit anda dan perkara mana yang boleh diperbaiki. 

Laporan MyCTOS Score 

Jika anda belum biasa dengan CTOS, ia adalah agensi pelaporan kredit yang membantu mengumpul dan menyediakan maklumat kredit di Malaysia. CTOS menawarkan laporan MyCTOS Score – satu laporan kredit komprehensif yang boleh membantu anda memahami tahap kesihatan kredit anda dan kenal pasti bahagian yang perlu diperbaiki untuk meningkatkan kebolehpercayaan kredit anda.  

Cara paling mudah untuk mendapatkan laporan MyCTOS Score ialah dengan melayari laman web CTOS dan mendaftar ID Pengguna CTOS secara dalam talian (atau melalui aplikasi mudah alih mereka). 

Laporan MyCTOS Score mengandungi maklumat peribadi anda, rekod CCRIS, maklumat pengarah syarikat (jika ada), rekod tindakan undang-undang, bilangan carian ke atas nama anda, serta Skor CTOS andaiaitu satu skor kredit yang bermula daripada 300 (terendah) hingga 850 (tertinggi).