Artikel ini diterbitkan oleh ringgitplus.com bersama CTOS.
Apa itu Kecurian Identiti?
Kecurian identiti adalah perbuatan jenayah di mana seseorang mencuri maklumat peribadi anda seperti butiran NRIC, pasport, kad kredit atau maklumat perbankan.
Sebaik sahaja pencuri identiti mendapat maklumat peribadi mangsa, mereka boleh menggunakan maklumat tersebut untuk pelbagai perkara, seperti memohon pinjaman dan kad kredit menggunakan nama mangsa, membuat pembelian tanpa izin, serta menjual maklumat atau dokumen mangsa kepada syarikat lain atau pendatang haram.
Perlukah Saya Kisah Jika Maklumat Peribadi Saya Dicuri?
Apabila butiran peribadi anda dikompromi akibat kecurian identiti, situasi ini boleh benar-benar menjejaskan hidup anda. Anda boleh menghadapi krisis kewangan yang serius jika anda tidak mengambil langkah-langkah untuk menanganinya atau melaporkannya dengan segera.
Bagaimana caranya untuk tahu jika saya adalah mangsa kecurian identiti?
Berikut adalah beberapa tanda amaran yang anda mungkin menjadi mangsa kecurian identiti.
1. Caj dan pengeluaran tunai tanpa izin daripada kad kredit / akaun bank anda
Sentiasa periksa penyataan kad kredit dan perbankan anda secara online atau fizikal setiap bulan dan kenalpasti sebarang caj atau pengeluaran yang tidak diizinkan.
Apa yang perlu anda lakukan: Maklumkan kepada bank anda dengan segera jika anda terlihat urusniaga yang tidak diizinkan melalui kad kredit atau akaun perbankan anda. Anda juga disyorkan memfailkan laporan polis sebagai dokumen sokongan bersama borang pertikaian yang lengkap (anda biasanya boleh memuat turun borang ini dari laman web bank anda).
Di samping itu, anda perlu membuat laporan di Bank Negara melalui saluran berikut:
Hubungi: 1-300-88-5465 (1-300-88-LINK)
Faks: 03-2174 1515
SMS ke 15888: BNM TANYA [laporan / pertanyaan anda]
E-mel: bnmtelelink@bnm.gov.my
2. Bil dan surat anda hilang
Sekiranya surat dan mel anda tidak konsisten kebelakangan ini, pertimbangkan kemungkinan bahawa peti surat peribadi anda mungkin telah dicerobohi untuk tujuan yang berniat jahat.
Apa yang perlu anda lakukan: Semak mel anda secara konsisten dan jangan lupa untuk maklumkan kepada bank anda jika terdapat perubahan alamat. Konsep yang sama harus diamalkan jika anda menggunakan tempat kerja atau e-mel pelajar untuk menerima penyata kewangan anda.
3. Akaun media sosial anda menunjukkan aktiviti yang mencurigakan
Jika akaun anda diakses dari lokasi yang berbeza dari tempat tinggal biasa anda, inilah petunjuk untuk menukar kata laluan anda kerana akaun anda munkin telah digodam. Untuk penggodam, media sosial adalah cara terbaik untuk memperolehi maklumat peribadi. Sebaik sahaja mereka menggodam mana-mana akaun online anda, mereka boleh menggunakannya untuk menipu rakan-rakan anda dan memperolehi maklumat peribadi anda melalui cara ini – maklumat seperti ini boleh disalahgunakan untuk tujuan seperti pengesahan kad kredit dan lebih lagi.
Apa yang perlu anda lakukan: Tukar kata laluan anda secara berkala dan kemaskinikan soalan keselamatan anda dengan kerap, terutamanya jika ianya melibatkan butiran peribadi anda. Jika awak mensyaki bahawa identiti anda telah dicuri, maklumkan kepada pihak yang berkenaan supaya tindakan seterusnya boleh diambil.
4. Permohonan pinjaman dan kad anda kerap ditolak
Jika anda menghadapi kesukaran mendapatkan kad kredit atau kelulusan permohonan pinjaman, mungkin sudah tiba masanya untuk menyemak laporan kredit anda untuk melihat jika terdapat sebarang percanggahan mengenai butiran peribadi anda. Tanda-tanda kecurian identiti yang biasa adalah seperti pertanyaan kredit dari sumber yang tidak diketahui atau dari akaun baru.
Apa yang perlu anda lakukan: Semak laporan kredit anda dan skor kredit dengan berkala supaya anda sentiasa mempunyai maklumat yang terkini mengenai kesihatan kewangan anda. Jika anda mendapati mana-mana maklumat dalam laporan kredit anda adalah tidak tepat, maklumkan kepada agensi pelaporan kredit anda dengan segera untuk siasatan lanjut.