Berapa kerapkah laporan kredit dikemaskini?

Kandungan laporan kredit anda sentiasa berubah. Maklumat di dalamnya boleh bertambah atau dikemaskini secara berterusan. Maklumat akaun biasanya dikemaskini setiap bulan, tapi setiap akaun dalam laporan kredit anda boleh dikemaskini pada hari yang berbeza, bergantung kepada kitaran pelaporan pemberi kredit tersebut.

Berikut adalah maklumat mengenai bahagian-bahagian yang berbeza dalam laporan MyCTOS Score anda:

Bahagian B: Maklumat pengarah dan perniagaan, rekod alamat

Bahagian ini dikemaskini apabila terdapat perubahan pada maklumat anda dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Maklumat ini dikemaskini dalam laporan kredit anda secara amnya dalam masa beberapa hari.

Bahagian C: Maklumat CCRIS

Maklumat CCRIS anda daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dikemaskini pada hari ke-10 setiap bulan. Rekod CCRIS terdiri daripada data mengenai pinjaman anda yang belum dijelaskan (contohnya jenis kemudahan kredit, rekod pembayaran, jumlah ansuran, had kredit) dan permohonan kredit (yang telah diluluskan serta yang dalam proses) selama 12 bulan yang lalu.

Bahagian D: Kes undang-undang

Sekiranya anda memfailkan kebankrapan, rekod pemfailan akan berada dalam laporan anda. Rekod tersebut boleh mengambil masa sehingga sebulan untuk muncul dalam laporan anda. Jika status bankrap berakhir, maklumat muflis akan dikemaskini. Rekod kebankrapan akan dikeluarkan selepas 2 tahun dari tarikh penyelesaian penuh (surat penyelesaian / pelepasan diperlukan). Sama juga untuk kes-kes undang-undang jenis lain, semuanya akan dinyatakan maksimum 2 tahun dalam laporan kredit anda.

Bahagian E: Rujukan perdagangan (eTR)

Sekiranya anda mempunyai hutang yang tidak dilangsaikan dengan sebuah organisasi, pihak tersebut boleh menyenaraikan nama anda di bawah rujukan perdagangan dan maklumat ini akan muncul di bahagian ini.

Maklumat rujukan dagangan ini akan dilaporkan sehingga hutang tertunggak diselesaikan, atau pihak yang membuat penyenaraian tersebut mengeluarkan nama anda. Pihak yang membuat penyenaraian dikehendaki mengeluarkan maklumat tersebut dalam masa 3 hari bekerja dari tarikh penyelesaian hutang.

Berikan kami maklumat/dokumen untuk mengemaskini dan pantau kesihatan kredit anda secara berkala

Kami menggalakkan anda untuk memberikan kami maklumat untuk mengemaskini sebaik sahaja anda menyelesaikan bayaran tertunggak atau kes. Hantarkan bukti penyelesaian seperti surat pelepasan, perintah mahkamah, dan sebagainya kepada kami. Kami akan mengemaskini, memasukkan komen atau nota yang berkaitan di dalam laporan kredit anda sebaik sahaja kami selesai mengesahkan dokumen yang diterima.

Kami mengesyorkan supaya anda memantau laporan kredit anda secara berkala supaya anda dapat melihat sebarang maklumat yang telah berubah dan ketahui perkara yang anda masih perlu diperbaiki.