Mungkin kita cenderung untuk menunda pembayaran ansuran atau obligasi kredit selama sebulan dua apabila mempunyai perbelanjaan tambahan dan mengalami kesempitan wang serta beranggapan ia tidak memberi impak negatif. Namun, tanggapan itu adalah salah.
Menunda pembayaran selama sebulan boleh membawa kesan negatif kepada anda
Ya, menunda pembayaran untuk pinjaman kereta atau rumah, bil kad kredit, pinjaman pelajaran dan sebagainya akan menjejaskan kesihatan kredit anda! Rekod tunggakan tersebut akan muncul dalam laporan kredit anda dan skor kredit anda akan menurun. Anda perlu ingat, bank dan para peminjam ingin melihat skor kredit yang baik – umumnya 650 dan ke atas – apabila mereka menilai kebolehpercayaan kredit anda dan membuat keputusan untuk meluluskan pinjaman dan permohonan kredit. Lebih teruk lagi, anda perlu membayar yuran lewat setiap kali anda menunda pembayaran. Lebih banyak bayaran yang ditunda, lebih tinggi perbelanjaan anda akibat denda pembayaran lewat dan lebih sukar untuk anda menyelesaikan bil-bil tertunggak (yang semakin lama semakin bertambah).
Anda mungkin pernah terlepas bayaran bulanan. Adakah sudah terlambat untuk menyelesaikan perkara ini? Tidak sama sekali! Anda sentiasa boleh meningkatkan kesihatan kredit dan skor anda, namun ia memerlukan sedikit masa. Mulakan langkah anda sekarang!
Perbaiki apa yang perlu dan pastikan kesihatan kredit anda meningkat
Berikut adalah cara untuk meningkatkan kesihatan kredit dan skor jika anda pernah menunda bayaran.
Langkah 1 – Semak laporan MyCTOS Score anda yang terkini. Anda boleh melihat skor kredit serta laporan CCRIS yang memaparkan rekod bayaran bagi tempoh 12 bulan yang lalu. Dengan ini, anda boleh merancang cara yang terbaik untuk menyelesaikan bil-bil tertunggak.
Langkah 2 – Langsaikan semua bayaran bulanan yang tertunggak. Pastikan anda membayar semua bil anda tepat pada masanya secara konsisten untuk setiap bulan yang akan datang. Amalkan corak pembayaran balik yang konsisten supaya skor kredit anda akan semakin meningkat. Cara yang terbaik untuk melakukan ini adalah dengan menggunakan kemudahan pembayaran debit auto. Apabila anda mendaftar untuk kemudahan tersebut, anda tidak perlu risau tentang lupa atau terlepas bayaran bulanan anda. Kemudahan pembayaran debit auto akan memastikan jumlah bayaran bulanan pinjaman ditolak secara automatik dari akaun simpanan atau akaun semasa melalui bank anda. Semak terlebih dahulu dengan bank anda senarai syarikat yang menerima bayaran debit auto supaya anda boleh berbuat demikian. Anda juga boleh menetapkan peringatan pembayaran untuk diri sendiri dengan menggunakan pelbagai aplikasi di dalam telefon pintar anda.
Akhir sekali, hubungi kaunselor seperti AKPK yang menyediakan perkhidmatan kaunseling kewangan percuma jika anda menghadapi kesukaran dalam pengurusan kewangan.