Tiada siapa yang ingin menjadi mangsa kecurian identiti. Akan tetapi, kita mungkin membahayakan diri sendiri tanpa menyedarinya. Sesetengah tabiat boleh menyenangkan kerja pencuri untuk mendapatkan maklumat peribadi kita yang sensitif, serta menyalahgunakannya untuk melakukan penipuan dan jenayah.
Berikut adalah 5 tabiat yang boleh meningkatkan risiko kecurian identiti:
1. Menggunakan kata laluan yang sama dan mudah diingati untuk beberapa akaun
Seorang pencuri identiti mungkin berjaya mendapatkan kata laluan anda dan cuba menggunakannya untuk akaun anda yang lain. Pastikan anda menggunakan kata laluan yang berbeza untuk akaun-akaun yang berlainan.
2. Menghantar e-mel yang mengandungi maklumat kewangan anda, nama pengguna atau kata laluan
Jangan menghantar maklumat sensitif melalui e-mel. Sekiranya boleh, gunakan kaedah ‘encryption’ atau berikan maklumat kepada pihak yang berkaitan secara terus (berjumpa secara langsung) atau melalui laman web yang selamat.
3. Tidak menyemak penyata bulanan kerana anda membuat pembayaran melalui debit auto
Walaupun debit auto menjadikan tugas anda lebih mudah, anda masih perlu menyemak transaksi secara berkala untuk memastikan bayaran tersebut adalah sah dan semuanya berjalan dengan lancar.
4. Membuang dokumen sensitif seperti penyata bank tanpa merincihkannya terlebih dahulu
Rincihkan semua dokumen penting anda sebelum dibuang. Ini kerana dokumen yang lengkap dengan maklumat sensitif boleh dicuri walaupun telah dibuang.
5. Tidak menyemak laporan kredit anda secara berkala
Laporan kredit anda dikemaskini setiap bulan. Penyemakan secara berkala akan memberi amaran kepada tanda-tanda awal kecurian identiti dan penipuan, supaya anda boleh mengambil tindakan segera jika diperlukan.