5 Cara untuk Meningkatkan Skor Kredit Syarikat Anda
Sebagai pemilik perniagaan, memahami skor kredit syarikat anda adalah penting untuk mendapatkan akses kepada kemudahan kredit. Semakin baik skor kredit syarikat anda, semakin besar kemungkinan bank, pembekal dan pemiutang lain akan memberikan kredit kepada perniagaan anda.
Memahami Skor Kredit
Skor kredit menilai tahap kebolehpercayaan kredit seseorang peminjam. Oleh itu, skor yang lebih tinggi menunjukkan kemungkinan besar pinjaman akan dibayar balik tepat pada masanya. Syarikat dengan skor kredit yang lebih tinggi sering dianggap lebih dipercayai oleh pihak bank, sekali gus berpotensi mendapat kadar faedah yang lebih rendah.
Skor ini ditentukan berdasarkan tingkah laku masa lalu terhadap penggunaan kemudahan kredit. Sebagai contoh, jika anda sentiasa membayar bil tepat pada masanya sebelum ini, ia menunjukkan kecenderungan untuk terus berbuat demikian. Berdasarkan faktor-faktor ini, satu nombor akan dijana untuk mewakili tahap kebolehpercayaan kredit secara keseluruhan.
Sebagai contoh, CTOS SME Score dikira berdasarkan faktor dan pemberat berikut:
- Sejarah pembayaran (54%)
Sama ada syarikat/pemilik perniagaan membayar pinjaman tepat pada masanya atau pernah tertunggak
- Jumlah hutang (11%)
Bilangan kemudahan kredit dan jumlah yang masih tertunggak kepada pihak bank
- Prestasi kewangan (19%)
Keadaan kewangan syarikat (penyata imbangan, untung rugi, aliran tunai, ekuiti dan lain-lain)
- Campuran kredit (8%)
Jenis pinjaman dan kemudahan kredit yang dimiliki syarikat/pemilik perniagaan
- Permohonan kredit baharu (8%)
Sama ada syarikat/pemilik perniagaan baru-baru ini diluluskan untuk kredit baharu
Cara Meningkatkan Skor Kredit Syarikat Anda
Meningkatkan skor kredit syarikat memerlukan masa dan usaha yang konsisten. Sebagai pemilik perniagaan, anda perlu bertindak secara proaktif dan strategik. Skor kredit yang sihat memberikan kelebihan seperti terma pinjaman yang lebih baik dan tawaran yang lebih menguntungkan bagi sewaan atau kemudahan kredit.
Berikut ialah beberapa tip untuk membantu meningkatkan skor kredit syarikat anda:
- Pastikan Akaun Pinjaman Syarikat Tidak Tertunggak
Pembayaran tepat pada masanya adalah faktor paling penting yang mempengaruhi skor kredit. Jika anda lewat membayar, akaun akan dilaporkan sebagai tertunggak dan menjejaskan skor kredit syarikat. Menjaga komitmen pembayaran akan membina kredibiliti syarikat serta memudahkan pihak bank menilai had kredit, terma kredit, atau risiko kewangan.
- Pelbagaikan Jenis Kredit Syarikat
Mempunyai pelbagai jenis kemudahan kredit boleh memberi kesan positif kepada skor kredit. Pertimbangkan untuk mempunyai gabungan kredit perdagangan, kredit berpusing (revolving credit), dan kad kredit korporat, berbanding hanya satu jenis hutang sahaja.
- Urus Penggunaan Kredit Berpusing Syarikat
Jumlah kredit yang digunakan mempengaruhi skor kredit secara langsung dan boleh menjadi petunjuk kepada risiko gagal bayar. Jika syarikat menggunakan terlalu banyak kredit berpusing, kadar penggunaan yang tinggi boleh menurunkan skor. Sebaiknya, pastikan kadar penggunaan kredit kekal rendah — idealnya di bawah 50% daripada jumlah kredit yang tersedia.
- Pastikan Kewangan Peribadi Anda Kekal Sihat
Jika anda baru memulakan perniagaan, pihak bank mungkin akan mengambil kira data dari akaun peribadi anda untuk mengira skor kredit syarikat. Sebagai contoh, CTOS SME Score untuk perkongsian dan pemilik tunggal dinilai berdasarkan gabungan skor perniagaan berdaftar (ROB) dan juga skor setiap pemilik/perkongsian.
Selain mengamalkan tabiat kewangan yang baik seperti bayar bil tepat masa dan kawal penggunaan kredit, sebaiknya asingkan akaun perniagaan dan akaun peribadi anda. Ini akan mengelakkan kesan negatif dari satu akaun ke atas yang lain.
- Pantau Skor Kredit Syarikat Secara Berkala
Meningkatkan skor kredit syarikat adalah proses berterusan yang memerlukan pengurusan kewangan yang bijak. Dengan mengikuti strategi di atas, anda boleh meningkatkan kebolehpercayaan kredit syarikat anda. Semak skor kredit syarikat anda secara proaktif dengan laporan CTOS untuk manfaat jangka masa pendek dan panjang, serta membuka ruang untuk pertumbuhan dan kejayaan masa depan.
Nilai dan semak skor kredit syarikat anda dengan laporan CTOS sekarang!